JAKARTA, 19 Dis: Media sosial dimeriahkan dengan isu penipuan yang disyaki dilakukan Polis Wilayah Jakarta dalam sebuah festival muzik antarabangsa Djakarta Warehouse Project (DWP) di Jakarta baru-baru ini yang turut dihadiri lebih 10,000 warga asing termasuk dari Malaysia.
Rakyat Malaysia yang mengaku menjadi mangsa mendedahkan di platform media sosial mendakwa polis meminta sejumlah wang untuk membebaskan mereka daripada pertuduhan memiliki dadah selepas menjalani ujian air kencing.
Menurut penganjur festival muzik DWP, Ismaya Live, pihaknya sedang mengambil kira semua perkara yang berlaku dan sedang menjalankan siasatan serta penyelarasan dengan polis bagi mengenal pasti perkara itu.
Pengurus Pemasaran Ismaya Live, Argi Wibawa mendedahkan pihaknya giat mengumpulkan bukti dengan membuka talian hotline dan menggesa mangsa membuat laporan dengan memasukkan bukti.
“Kami telah membuka perkhidmatan dalam talian, meminta sesiapa yang berasa dirugikan untuk membuat laporan serta memberikan segala bukti bagi memudahkan siasatan yang dijalankan setakat ini,” katanya kepada TVS.
Beliau turut menyebut pihaknya akan cuba mencari jalan penyelesaian terhadap kes itu melalui siasatan yang dijalankan.
Bagaimanapun, sehingga kini belum ada kenyataan rasmi daripada Polis Wilayah Jakarta mengenai perkara berkenaan.
Djakarta Warehouse Project ialah festival muzik genre EDM terbesar di Asia yang diadakan buat kali ke-16 sejak 2008 yang disertai pemuzik antarabangsa yang turut dihadiri oleh peminat dari pelbagai negara.-TVS