KUCHING, 19 Dis: Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (MPHLG) Sarawak sedia bekerjasama dengan Lembaga Pembangunan Industri Binaan (CIDB) bagi memperkukuhkan industri pembinaan di Sarawak.
Timbalan Menterinya Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata, inisiatif yang dijalankan CIDB penting dalam meningkatkan kualiti, keselamatan, dan kemampanan projek infrastruktur.
“Saya ingin memuji CIDB atas inisiatif cemerlang mereka seperti Sistem Penilaian Keselamatan dan Kesihatan dalam Pembinaan (SHASSIC), Sistem Penilaian Kualiti dalam Pembinaan (QLASSIC) dan Sistem Pembinaan Industri (IBS) yang merupakan rangka kerja penting dalam meningkatkan taraf industri pembinaan di Sarawak.
“Kementerian Kesihatan Awam dan Kerajaan Tempatan Sarawak tidak sabar untuk bekerjasama rapat dengan CIDB dalam meneroka cara-cara untuk melaksanakan rangka kerja ini di Sarawak,” katanya melalui teks ucapan yang dibacakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang Dato Lo Khere Chiang, ketika Majlis Anugerah Gemilang dan Penghargaan Industri Pembinaan Negeri Sarawak 2024 di sini, hari ini.
Menurutnya, kerjasama itu penting untuk memastikan kesesuaian rangka kerja tersebut dalam memenuhi keperluan unik wilayah ini dan terus memacu inovasi dalam industri.
Mengenai Majlis Anugerah Gemilang dan Penghargaan Industri Pembinaan Negeri Sarawak 2024, beliau berkata, penerima anugerah adalah contoh utama dedikasi, inovasi dan pematuhan kepada prinsip boleh mengubah landskap pembinaan.
“Mereka adalah teladan, menunjukkan apa yang mungkin apabila kita menggabungkan kepakaran dengan komitmen untuk kecemerlangan,” ujarnya.
Beliau berkata, sektor pembinaan bukan sahaja menjadi tulang belakang infrastruktur di Sarawak malah turut menyumbang kepada kemakmuran ekonomi yang terus berkembang.
Menurutnya, dengan pertumbuhan berterusan, prinsip seperti kualiti, keselamatan dan kesihatan, kemampanan serta inovasi harus diberi tumpuan sebagai panduan ke arah masa depan lebih mampan dan makmur.
Dalam pada itu, beliau mengulangi komitmen Sarawak untuk memastikan industri pembinaan terus berkembang maju meskipun menghadapi cabaran berterusan seperti 37 peratus premis yang ditetapkan tidak mempunyai sijil bomba aktif.
Turut hadir Pengerusi CIDB Yusuf Abdul Wahab. – TVS