MIRI, 19 Dis: Program Jualan Rahmah (PJR) bakal diperluaskan di Bandaraya ini menjelang perayaan Krismas hujung bulan kelak bagi meringankan beban rakyat, khususnya golongan kurang berkemampuan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin, berkata inisiatif ini juga merupakan salah satu usaha kerajaan untuk membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat.
“Program Jualan Rahmah ini sangat bermakna kerana ia turut mengambil kira sambutan perayaan Krismas yang bakal tiba. Oleh itu, ia adalah jualan khas untuk membantu penduduk di kawasan saya, khususnya di DUN Senadin, dalam membuat persiapan Krismas,” katanya.
Menteri Pengangkutan Sarawak itu berkata demikian ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
Menurutnya lagi, program sedemikian yang diadakan di pelbagai lokasi sebelum ini, mendapat sambutan positif daripada masyarakat kerana ia membantu mereka berjimat dalam berbelanja.
“Ini adalah satu usaha yang baik. Saya berharap program ini dapat diperluaskan ke lebih banyak kawasan untuk membantu menurunkan kos sara hidup,” tambahnya.
Dalam program tersebut, pelbagai barangan keperluan harian seperti beras, tepung, minyak masak, gula, daging ayam, telur, serta produk tempatan seperti sayur-sayuran ditawarkan dengan diskaun istimewa antara 10 hingga 30 peratus berbanding harga pasaran.
Program Jualan Rahmah diperkenalkan sebagai langkah proaktif kerajaan untuk membantu rakyat menghadapi cabaran ekonomi, terutama menjelang musim perayaan. -TVS