SEPANG, 19 Dis: Sejumlah 150 projek fasiliti kesihatan dilaksanakan oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) di seluruh negara dengan 52 daripadanya telah siap dibina setakat Disember tahun ini.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) diberi tangunggjawab sebagai agensi pelaksana bagi kesemua projek yang menelan kos keseluruhan berjumlah RM14.64 bilion.
“Daripada jumlah itu, 16 projek sedang dilaksanakan di Selangor. 36 projek dalam peringkat pra pembinaan dengan melibatkan kos RM2.29 bilion.
“Sementara itu, 62 projek dalam peringkat pembinaan bernilai RM8.22bilion, manakala 52 projek telah siap sepenuhnya dengan kos RM4.13 bilion,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Projek Pusat Keselamatan Makanan Negara (NCFS) kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di sini, hari ini.
Yang turut hadir Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Mengulas lanjut, Nanta berkata, bagi tahun ini sahaja sebanyak 16 fasiliti kesihatan telah disiapkan dan diserahkan kepada KKM termasuk projek NCFS yang diserahkan hari ini.
Dalam pada itu, menjawab pertanyaan pemberita berhubung penyerahan baki projek yang masih belum disiapkan kepada pihak KKM, Nanta berkata kementeriannya tidak dapat menyatakannya disebabkan setiap projek adalah berbeza dan memerlukan jangka masa tertentu.
“Ia mengikut tempoh masa tertentu sebab semua projek yang dijalankan ketika ini tidak bermula serentak. Terdapat projek yang mengambil tempoh yang lama disebabkan kebesarannya dan ada siap dalam tempoh singkat kerana ia kecil,” ujarnya.
Nanta menjelaskan, kesemuanya dijalankan secara berperingkat dengan beliau memaklumkan projek pembinaan sebuah hospital di Perak akan diserahkan kepada KKM dalam tempoh terdekat. – TVS