KOTA KINABALU, 19 Dis: Isu kemiskinan tegar di Sabah yang jauh lebih tinggi berbanding negeri lain di Malaysia menjadi fokus utama Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.
Beliau berkata, pendekatan baharu akan diperkenalkan di bawah RMK-13 untuk memastikan daerah termiskin di Sabah agar menerima perhatian khusus melalui program yang menjana pendapatan mampan, bukannya hanya bergantung kepada bantuan tunai.
“Isu menoktahkan kemiskinan tegar ini memang fokus sekarang pun. Ia bukan fokus akan datang. Cuma bezanya ialah insiden kemiskinan tegar di Sabah itu lebih tinggi, jauh lebih tinggi.
“Untuk RMK-13, saya percaya bahawa kita akan fokus kepada daerah yang memang termiskin ini yang lapan itu daripada Sabah. Jadi ada kerangka baru yang bagi penempatan mengikut daerah dengan tumpuan untuk menghasilkan aktiviti menjana pendapatan,” katanya semasa sesi Libat Urus RMK-13 Negeri Sabah Peringkat Persekutuan Bersama Kementerian Ekonomi di The Pacific Sutera Hotel, Khamis.
Tambah Rafizi, pendekatan baharu ini berbeza dengan kaedah lama yang hanya memberi tumpuan kepada projek infrastruktur dengan harapan ia mampu merangsang aktiviti ekonomi secara keseluruhan.
“Kalau pendekatan lama ialah kita melihat kepada projek infrastruktur ini dengan harapan itu menghasilkan aktiviti ekonomi yang ada limpahan kepada penduduk tempatan.
“Untuk RMK-13 ini, kita ada strategi khusus untuk campur tangan terus di daerah-daerah 10 yang termiskin yang 8-nya ialah di Sabah ini dan yang itu baru kita boleh memastikan bahawa usaha mengeluarkan keluarga miskin tegar ini daripada miskin tegar, perkara itu berjaya tanpa bergantung sepenuhnya kepada pindahan wang tunai tiap-tiap bulan daripada jabatan-jabatan dan agensi kerajaan,” ujarnya.
Beliau turut memberi jaminan Kerajaan Persekutuan akan terus memberikan keutamaan kepada Sabah melalui peruntukan yang besar serta memperkemas proses perancangan dan pelaksanaan projek untuk mengelakkan projek tergendala.
“Keutamaan Kerajaan Persekutuan dalam usaha kita untuk menutup jurang itu bermakna negeri Sabah akan terus menjadi keutamaan dari segi mendapat peruntukan yang besar.
“Cuma kita juga komited saya ingat di antara kerajaan Persekutuan dan juga kerajaan negeri untuk memastikan bahawa segala yang dirancang dan peruntukan yang telah diluluskan ini akan dapat dilaksanakan dengan berkesan dan dengan cepat,” jelasnya.
Rafizi turut mengulas tentang langkah digitalisasi yang kini giat dilaksanakan untuk mempermudah proses permohonan projek bagi mengimbangi kekurangan sumber manusia.
Sesi libat urus tersebut bertujuan membincangkan keutamaan pembangunan Sabah, termasuk mempercepat pelaksanaan projek di bawah RMK-13 bagi meningkatkan taraf hidup penduduk Sabah. -TVS