Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Program Kembara Jelajah Krismas di kawasan Dewan Undangan Negeri Semop bertujuan mengukuhkan persahabatan dan persefahaman antara belia pelbagai kaum dan agama. Foto Pusat Khidmat ADUN Semop

Kemajuan Sarawak: Pembangunan infrastruktur dan kemanusiaan harus seimbang

BINTANGOR, 19 Dis: Mengekalkan perpaduan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat majmuk amat penting untuk memastikan kesejahteraan selaras dengan misi pembangunan Sarawak yang maju.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata perpaduan yang kukuh dapat dibentuk melalui amalan seperti ziarah-menziarahi pada musim perayaan, termasuk Krismas.

Program Kembara Jelajah Krismas di kawasan DUN Semop. Foto Pusat Khidmat ADUN Semop

“Pembangunan yang kita usahakan bukan sahaja melibatkan infrastruktur kemudahan awam tetapi juga pembangunan nilai kemanusiaan dan jati diri,” katanya ketika mengulas Program Kembara Jelajah Krismas di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semop, hari ini.

Beliau menegaskan bahawa perpaduan dapat memupuk persefahaman antara generasi muda dan golongan dewasa agar dapat bekerjasama dalam pelbagai aktiviti komuniti di penempatan masing-masing.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, Pemuda dan Belia Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), terutama yang beragama Kristian, telah mengadakan konvoi Kembara Jelajah Krismas ke rumah-rumah panjang masyarakat Kristian di kawasan DUN Semop.

Program ini berlangsung selama dua hari dengan kerjasama Pusat Khidmat ADUN Semop dan Saberkas Cawangan Semop.

Lokasi persinggahan konvoi meliputi 22 rumah panjang di sekitar Selidap, Sungai Sian, Muara Bunut, Berangan, Telok Gelam dan Pulau Bruit.

Rombongan tersebut terdiri daripada 40 belia dari pelbagai rumah panjang dan turut disertai oleh rakan belia dari beberapa kampung Melayu dan Melanau di kawasan DUN Semop.

Antara pengisian program ini ialah penyampaian cenderahati berbentuk pokok Krismas di setiap rumah panjang yang dikunjungi. Kanak-kanak juga diraikan dengan pemberian coklat dan gula-gula oleh Santa Claus dari rombongan tersebut.

“Objektif utama program ini adalah untuk mengukuhkan persahabatan dan persefahaman antara belia pelbagai kaum dan agama di kawasan DUN Semop.

“Selain itu, aktiviti ziarah oleh golongan belia ini juga diadakan untuk perayaan lain seperti Hari Raya, Gawai, dan Tahun Baru Cina,” katanya.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan