KUCHING, 19 Dis: Jenazah Allahyarham Nurul Asikin Lan, lebih dikenali sebagai Amoy, selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Semariang pada jam 1 tengah hari tadi, dalam suasana penuh pilu yang menyelubungi keluarga dan sahabat terdekat.
Amoy, 26, dilaporkan hilang pada 5 Disember lalu selepas keluar bersama seorang lelaki yang baru dikenali.
Setelah beberapa hari hilang tanpa jejak, mayatnya ditemui dalam keadaan mengerikan di dalam longkang di Jalan Setia Raja pada Ahad lalu, menggemparkan seluruh komuniti.
Hasil bedah siasat dan ujian DNA yang dijalankan, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata, mengesahkan identiti mangsa yang ditemukan itu.
Pendedahan terbaru mengenai kes ini semakin mencetuskan kemarahan, apabila suspek mengaku kepada pihak berkuasa bahawa motif pembunuhannya adalah untuk mendapatkan wang bagi menonton perlawanan bola sepak Malaysia menentang Kemboja pada 8 Disember lalu.
Kisah tragis ini mencetuskan ketidakpuasan hati dan rasa marah yang mendalam dalam kalangan keluarga mangsa.
Bapa saudara Allahyarham, Mohamad Nor Bohari, dengan penuh emosi menggesa agar pelaku diberi hukuman yang setimpal.
“Saya harap pelaku diberi hukuman yang setimpal dengan apa yang dilakukannya. Kami reda dengan pemergian Amoy, tetapi kami tidak mahu tragedi ini berulang lagi kepada keluarga lain.
“Saya mohon kerajaan dan pihak berkuasa ambil serius kes seperti ini. Keadilan mesti ditegakkan,” ujar beliau selepas pengebumian.
Terdahulu, seorang lelaki tempatan ditahan reman bagi membantu siasatan kes penemuan mayat seorang wanita di Jalan Setia Raja di sini. – TVS