KUCHING, 19 Dis: Kerajaan Sarawak yakin kerjasama serta hubungan erat Sarawak dan China akan terus diperkukuhkan melalui penganjuran Forum Kerjasama Malaysia (Sarawak) – China dan Mesyuarat Meja Bulat Bandaraya Persahabatan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata hubungan erat dua pihak akan diperkasakan menerusi inisiatif pembangunan holistik yang akan dibincangkan sepanjang forum dan mesyuarat meja bulat itu selama tiga hari.
“Kekuatan kami (Sarawak) terletak pada kepelbagaian ekonomi dalam sektor pertanian, pembuatan dan perkhidmatan.
“Pada masa yang sama, kami turut berkembang pesat dalam bidang ekonomi digital dan inisiatif-inisiatif ini adalah selari dengan usaha menjadikan Sarawak sebagai hab inovasi dan teknologi,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan dibacakan Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak Datuk Michael Tiang Ming Tee bagi merasmikan Forum Kerjasama Malaysia (Sarawak) – China dan Mesyuarat Meja Bulat Bandaraya Persahabatan di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 Dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.
Abang Johari berkata kepelbagaian sektor ekonomi menjadikan Sarawak sebagai rakan strategik utama dalam rangkaian kerjasama.
Pada 2023, jumlah eksport Sarawak ke China mencatatkan RM18.8 bilion, merangkumi produk komoditi seperti gas asli cecair (LNG), minyak masak dan logam.
Sementara itu, import dari China ke Sarawak mencatatkan nilai RM9.9 bilion yang meliputi peralatan industri serta produk pengguna, termasuk peralatan elektronik dan pakaian.