KUALA LUMPUR, 19 Dis: Malaysia sentiasa tegas untuk mempertahankan hak kedaulatan kawasan maritimnya berdasarkan Peta Baru Malaysia 1979 susulan tindakan Vietnam menuntut kawasan Laut Borneo Utara.
Timbalan Menteri Luar Negeri Datuk Mohamad Alamin berkata, perkara itu selaras dengan undang-undang antarabangsa termasuk Konvensyen Undang-Undang Laut, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Konvensyen Undang -undang Laut PBB (UNCLOS) 1982.
“Kerajaan juga sentiasa menegaskan pendirian Malaysia dalam setiap pertemuan dengan negara-negara luar di pelbagai peringkat (bermula pada) peringkat kumpulan kerja sehinggalah ke peringkat pemimpin negara.
“Dalam soal ini, Malaysia dan Vietnam sentiasa berbincang dan berunding mengenai isu-isu melibatkan kedua-dua negara melalui platform dua hala sedia ada, antara yang utama, Senior Official Strategic Dialogue di peringkat Pegawai Kanan dan Joint Commission Meeting di peringkat Menteri Luar,” jelasnya.
Beliau menjawab pertanyaan Senator Datuk Ahmad Ibrahim sama ada kerajaan akan mengambil tindakan tegas selain menghantar Nota Bantahan terhadap Vietnam yang sebelum ini menuntut kawasan perairan milik negara terutamanya di Laut Borneo Utara.
Tindakan itu menurut Ahmad sebagai cubaan mengganggu kesejahteraan negara-negara ASEAN.
Tambah Mohamad, kerajaan menerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sentiasa memberi perhatian serius terhadap keselamatan di kawasan perairan negara.
“Tindakan-tindakan yang diambil termasuklah rondaan, pengawasan, pemantauan dan penguatkuasaan dalam kawasan maritim Malaysia bagi mempamerkan kehadiran di kawasan tersebut.
“Pendirian Malaysia berhubung isu di Laut China Selatan adalah jelas dan konsisten.
“Semua pertikaian dan penyelesaian isu-isu berhubung Laut China Selatan hendaklah berdasarkan undang-undang antarabangsa dan UNCLOS 1982,” tegasnya. -TVS.