KUALA LUMPUR, 19 Dis: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa menyokong usaha institusi pendidikan di bawahnya untuk melaksanakan program dan aktiviti pendidikan dengan pihak luar namun tertakhluk kepada beberapa syarat.
Timbalan Menterinya, Wong Kah Woh berkata ini termasuk semua program atau aktiviti hendaklah mendapat kebenaran daripada Ketua Pendaftar atau Pendaftar Institusi Pendidikan dan Guru.
Jelas beliau, program berkenaan juga perlu mendapat kebenaran daripada ketua jabatan dan guru besar atau pengetua institusi pendidikan yang terlibat.
“(Program juga mesti) mematuhi semua pekeliling dan peraturan yang sedang berkuat kuasa serta surat kebenaran atau kelulusan tersebut tidak boleh diguna pakai bagi maksud untuk mendapatkan sumbangan dan tajaan daripada mana-mana pihak yang berkenaan,” katanya di Dewan Negara hari ini.
Dewan Negara: Kes kesalahan amang seksual fizikal libatkan kanak-kanak meningkat
Beliau menjawab soalan Senator Hussin Ismail yang ingin tahu syarat-syarat yang perlu dipatuhi bagi mana-mana institusi pendidikan tempatan yang menjemput pihak luar termasuk agensi negara asing untuk datang melaksanakan program dan aktiviti bersama-sama pelajar.
Sementara itu tambah Kah Woh, penyertaan murid dan guru juga mestilah tidak mengganggu atau menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran mereka dan syarat-syarat yang lain yang relevan.
Dewan Negara: Kes kesalahan amang seksual fizikal libatkan kanak-kanak meningkat
“KPM sentiasa menyokong usaha melaksanakan program bagi tujuan menyediakan murid dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai yang releven dengan keperluan semasa serta cabaran masa akan datang.
“KPM juga sentiasa menggalakkan institusi pendidikan membina dan mengukuhkan hubungan kerjasama dengan pelbagai pihak luar termasuk agensi kerajaan di bawah kementerian yang lain, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat korporat termasuk agensi negara asing bagi penganjuran program atau aktiviti pendidikan melibatkan murid, guru serta warga institusi pendidikan KPM,” katanya. -TVS.