KUALA LUMPUR, 19 Dis: Kerajaan terus komited untuk menangani isu kebencian kaum dan agama melalui pendekatan strategik yang melibatkan pelbagai pihak, selaras dengan prinsip keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia.
Timbalan Menteri Perpaduan Negara, K. Saraswathy berkata salah satu langkah utama yang dilaksanakan ialah penubuhan Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama (HARMONI) yang menjadi platform perbincangan tertutup dan berhemah untuk meredakan ketegangan dalam masyarakat.
“Jawatankuasa ini turut menyediakan pandangan konstruktif kepada kerajaan.
“Ia dianggotai pemimpin badan agama dan dipengerusikan bersama oleh Menteri Perpaduan Negara serta Menteri Agama,” katanya di Dewan Negara hari ini.
Dewan Negara: Dua bank didenda Bank Negara Malaysia ekoran ‘online banking’ terjejas
Beliau menjawab pertanyaan Senator Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof mengenai usaha kerajaan dalam menangani isu kebencian kaum dan agama di negara ini.
Mengulas lanjut, Saraswathy berkata HARMONI diperkuatkan dengan tiga biro utama iaitu Biro Pengurusan Program dan Aktiviti, Biro Pendidikan dan Penerangan, serta Biro Pengurusan Isu Agama dan Mediasi.
Struktur berkenaan jelas beliau memastikan pendekatan yang lebih efektif dalam melaksanakan inisiatif keharmonian antara agama.
“Kementerian Perpaduan turut menubuhkan Jawatankuasa Kerja Pengurusan Isu Perpaduan di bawah Majlis Penasihat Perpaduan Negara (MPPN), yang dipengerusikan oleh Tan Sri Lee Lam Thye.
“Jawatankuasa ini bertanggungjawab menilai isu-isu sensitif dan mengeluarkan kenyataan untuk mententeramkan keadaan,” jelasnya.
Dewan Negara: Dua bank didenda Bank Negara Malaysia ekoran ‘online banking’ terjejas
Sementara itu beliau memaklumkan elbagai program dilaksanakan bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), termasuk Wacana Memupuk Perpaduan, Sambutan Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia, serta penerbitan dokumentari mengenai keharmonian.
Beliau juga memaklumkan tentang penubuhan Mediator Komuniti (MK) untuk menyelesaikan isu perpaduan di peringkat komuniti.
“Sehingga kini, terdapat 571 mediator bertauliah yang menyediakan khidmat secara percuma di seluruh negara. Perkhidmatan ini boleh diakses melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN),” katanya. -TVS.