KUALA LUMPUR, 19 Dis: Dua bank yang melanggar peruntukan undang – undang di bawah seliaan Bank Negara Malaysia (BNM) telah dikenakan penalti monetari pentadbiran.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, tindakan penguatkuasaan itu diambil pada 29 Julai 2024.
Dewan Negara: DKK bantu filem Malaysia menang anugerah antarabangsa
Jelas beliau, BNM mempunyai bidang kuasa untuk mengenakan tindakan penyeliaan dan penguatkuasaan terhadap institusi-institusi kewangan yang didapati tidak patuh terhadap dasar yang sedia ada.
“Contohnya, kegagalan memastikan sistem-sistem kritikal yang menghadapi masa henti tidak dirancang yang menjejaskan akses perkhidmatan kepada pelanggan supaya tidak melebihi masa henti maksimum yang boleh diterima.
Dewan Negara: Ahli KWSP buat pengeluaran akaun fleksibel berjumlah RM11.6 bilion
“Berkenaan insiden-insiden gangguan perkhidmatan perbankan dalam talian, BNM telah mengambil tindakan segera mengarahkan institusi-institusi perbankan yang terlibat menentukan punca utama ganguan itu berlaku dan seterusnya menetapkan langkah pembetulan dan pencegahan yang sesuai bagi mengelakkan isu yang sama berulang,” katanya di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Senator Datuk Bobbey Bin Suan yang ingin tahu menyatakan pandangan kerajaan terhadap isu kekerapan gangguan perkhidmatan dalam talian oleh institusi perbankan dan sejauh manakah kesediaan kerajaan untuk mengenakan penalti susulan prestasi perkhidmatan perbankan yang kerap tergendala sehingga menyusahkan para pengguna.
Mengulas lanjut, Hui Ying berkata kerajaan mengambil serius isu gangguan perkhidmatan perbankan dalam talian yang menyusahkan pengguna dan BNM telah memperkenalkan garis panduan pengurusan risiko teknologi untuk institusi kewangan.
“(Ini dilakukan) dengan matlamat memastikan perkhidmatan kewangan disampaikan secara cekap dan selamat, sekali gus mengekalkan keyakinan orang ramai terhadap sistem kewangan negara,” katanya. -TVS.