KUALA LUMPUR, 19 Dis: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) memperuntukkan RM16 juta untuk Dana Kandungan Kreatif (DKK) tahun ini bagi menggalakkan penghasilan kandungan kreatif berkualiti.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, jumlah berkenaan disalurkan bagi tujuh jenis kategori dana untuk membolehkan karya tempatan bersaing di peringkat antarabangsa.
Jelas beliau, antara contoh kejayaan DKK termasuk filem cereka tempatan Abang Adik arahan Jin Ong yang memenangi dua anugerah iaitu filem terbaik dan pelakon lelaki terbaik di 10th Asian World Film Festival (AWFF) pada November lalu di Los Angeles, Amerika Syarikat.
“Filem tersebut turut mencipta sejarah dalam industri perfileman negara selepas menewaskan 15 buah filem antarabangsa lain bagi kategori Filem Cereka Antarabangsa Terbaik di Anugerah Akademi ke-97 (OSCARS),” katanya di Dewan Negara hari ini.
Nie Ching menjawab pertanyaan Senator Abdul Nasir Idris yang meminta Menteri Komunikasi menyatakan usaha kerajaan bagi menaikkan industri perfileman negara ke peringkat global.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan antara dana berkenaan termasuklah Dana Dokumentari Kenegaraan, Dana First Time Amateur Filmmaker (FAME), Dana Co-Pro (Filem Cereka dan Dokumentari), Dana Pembangunan Skrip, Dana Penyertaan Festival Antarabangsa, Dana Pengiktirafan dan Dana Program TV Kerjasama Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Sementara itu beliau turut memaklumkan FINAS telah melaksanakan 64 program pembangunan modal insan dalam bidang kreatif perfileman pada tahun ini yang melibatkan seramai 3,925 orang peserta di seluruh negara.
“Kementerian melalui FINAS juga menawarkan latihan teknikal dan kursus bertaraf profesional dalam bidang kreatif perfileman.
“(Ini melibatkan) bidang pengarahan, penulisan skrip, produksi, penyuntingan serta aspek teknikal seperti pengendalian kamera dan pencahayaan dan Kesan Visual (VFX),” katanya. -TVS.