KUALA LUMPUR, 19 Dis: Seramai empat juta atau 30.5 peratus ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di bawah umur 55 tahun telah membuat pengeluaran melalui akaun fleksibel.
Dewan Negara dimaklumkan ia melibatkan transaksi sebanyak RM11.6 bilion.
Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata, data tersebut direkodkan setakat 27 November 2024 dengan jumlah baki simpanan keseluruhan akaun fleksibel pula sebanyak RM7.4 bilion.
“Sejak penstrukturan semula akaun dilaksanakan pada 11 Mei 2024, KWSP telah memberi peluang kepada ahlinya bermula 12 Mei sehingga 31 Ogos 2024 untuk memilih sama ada ingin mempunyai amaun permulaan atau tidak dalam Akaun 3.
“Seramai 4.1 juta atau 31.6 peratus daripada jumlah 13.1 juta keseluruhan ahli KWSP di bawah umur 55 tahun telah memilih untuk mempunyai amaun permulaan di dalam akaun fleksibel dengan jumlah perpindahan simpanan sebanyak RM14.5 bilion manakala sejumlah RM6.6 bilion simpanan pula telah dipindahkan ke akaun persaraan,” katanya di sini hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Senator Roderick Wong Siew Lead yang ingin tahu jumlah permohonan dan jumlah pengeluaran yang diluluskan melalui KWSP Akaun 3 selepas inisiatif tersebut dilaksanakan.
Tambah Hui Ying, penstrukturan semula akaun KWSP itu dilaksanakan bertujuan untuk memperkasa ahli dalam membuat keputusan bagi mengimbangi keperluan jangka panjang terutamanya untuk persaraan dengan keperluan kewangan jangka pendek dan jangka sederhana.
“Inisiatif tersebut juga dapat membantu meningkatkan simpanan persaraan ahli agar mereka mempunyai pendapatan yang mencukupi untuk membiayai kehidupan persaraan mereka kelak,” katanya. -TVS.