MIRI, 19 Dis: Dua pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Long Seridan mencatat sejarah apabila berjaya meraih gelaran naib juara dalam Kejohanan Bola Tampar Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) 2024 yang berlangsung di Johor, September lepas.
Maryline Robin dan Joanna Jeprey, masing-masing berusia 12 tahun dan berasal daripada komuniti Penan, membuktikan bahawa kekangan kemudahan bukan penghalang untuk mencipta kejayaan.
Berbekalkan semangat kental, kedua-duanya membawa nama Sarawak ke pentas kebangsaan meskipun terpaksa berlatih dalam keadaan serba kekurangan di sekolah mereka yang berada di kawasan pedalaman.
Jurulatih yang juga guru di sekolah tersebut, Muhammad Izwan Mohd Yunos, berkongsi cabaran yang dihadapi sepanjang persiapan mereka untuk kejohanan tersebut.
“Perjalanan ke Miri dahulu untuk mencapai ke peringkat seterusnya adalah melalui pacuan empat roda dan mengambil masa lebih kurang 7 ke 8 jam.
“Sepanjang perjalanan, kami menghadapi pelbagai cabaran seperti tanah runtuh, jambatan putus, dan perlu menyeberang sungai menggunakan perahu. Namun, semangat anak-anak ini tidak pernah luntur,” katanya ketika ditemui TVS di sini, pada hari ini.
Maryline dan Joanna menyifatkan kejayaan mereka bukan sahaja hasil kerja keras tetapi juga dorongan dan motivasi daripada jurulatih dan keluarga..
“Saya berminat bermain bola tampar kerana kakak saya. Dia pernah berkata – jika kamu berlatih bersungguh-sungguh, suatu hari nanti kamu boleh mewakili Sarawak seperti saya,…kata-kata itu menjentik semangat saya,” kata Joanna.
Maryline pula menganggap pengalaman menyertai pasukan bola tampar ini telah banyak membantunya membina keyakinan diri dan kemahiran bersosial.
“Walaupun kami semua berasal dari pelbagai kaum, kami sentiasa bekerjasama dan saling menyokong,” ujarnya.
Dalam pada itu, Cikgu Izwan turut berkongsi cabaran membina keyakinan anak-anak ini yang sering merasa gentar apabila berhadapan dengan pemain dari bandar.
“Saya selalu ingatkan mereka bahawa saiz badan bukan penentu kejayaan. Yang penting adalah kemahiran, keyakinan diri, dan semangat juang yang tinggi,” ujarnya.
Maryline dan Joanna, yang bakal meninggalkan SK Long Seridan tahun ini, akan terus dikenang sebagai inspirasi kepada generasi muda di pedalaman.-TVS