AFGHANISTAN, 19 Dis: Dua kemalangan bas yang melibatkan sebuah tangki minyak dan sebuah lori di lebuh raya di Afghanistan tengah telah mengorbankan 52 orang dan mencederakan 65 yang lain, kata jurucakap kerajaan Taliban pada Khamis.
Kemalangan berlaku di wilayah Ghazni di lebuh raya yang sama antara ibu kota Kabul dan bandar selatan Kandahar pada lewat malam Rabu, menurut ketua maklumat dan budaya wilayah, Hamidullah Nisar di platform X tanpa memberikan butiran jumlah kematian dan kecederaan bagi setiap kemalangan.
“Kami menerima berita dengan rasa dukacita yang mendalam bahawa dua kemalangan jalan raya maut telah berlaku di Lebuh Raya Kabul-Kandahar yakni 52 rakyat kita terkorban dan 65 lagi cedera,” kata jurucakap utama kerajaan, Zabihullah Mujahid.
Salah satu bas bertembung dengan tangki minyak berhampiran perkampungan Shahbaz di Ghazni tengah, manakala sebuah lagi melanggar lori di daerah timur Andar, menurut Nisar.
Pasukan penyelamat segera dikerahkan ke lokasi dan membawa mangsa yang cedera ke hospital, dengan beberapa mangsa dalam keadaan kritikal, tambahnya.
Kemalangan jalan raya adalah perkara biasa di Afghanistan, sebahagiannya disebabkan keadaan jalan yang teruk selepas konflik berpuluhan tahun, pemanduan berbahaya di lebuh raya dan kekurangan peraturan jalan raya.
Pada Mac 2024, lebih daripada 20 orang maut dan 38 cedera apabila sebuah bas bertembung dengan tangki minyak dan terbakar di wilayah Helmand selatan.
Satu lagi kemalangan serius melibatkan tangki minyak berlaku pada Disember 2022, apabila kenderaan tersebut terbalik dan terbakar di laluan berbukit tinggi Salang Pass, Afghanistan, menyebabkan 31 orang terkorban dan puluhan lagi melecur.