KAHERAH, 18 Dis: Sarawak mengukuhkan bidang pengajian Islam dengan menjalinkan kerjasama dengan Majlis Ulama Al-Azhar.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, kerjasama itu penting untuk memastikan pengajian Islam dapat terus dikembangkan.
“Kita memang bercadang menjalinkan kerjasama bidang pengajian Islam di peringkat tertinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melawat Pengerusi Ahli Lembaga Tadbir Pertubuhan Alumni Al-Azhar yang juga Setiausaha Agung Majlis Ulama Kanan Al-Azhar Profesor Dr Abbas Shouman di sini, hari ini.
Menurutnya, lawatan tersebut bertujuan memaklumkan mengenai usaha Kerajaan Sarawak menaik taraf pusat penginapan pelajar dari Sarawak.
“Pada pertemuan ini, kita mendapat input yang baik untuk pengajian Islam di Sarawak,” ujarnya.
Hadir sama Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datuk Misnu Taha, Mufti Sarawak Datu Kipli Yassin dan Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak Mual Suaud.-TVS