KUCHING, 18 Dis: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari ini menyaksikan Permodalan Nasional Berhad (PNB) menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM2.586 juta kepada Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) di Astana Sarawak di sini.
Menurut Pengurus Besar TBS, Datu Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie, kutipan zakat di Sarawak dijangka terus meningkat menjelang hujung tahun berikutan daripada kesedaran masyarakat terhadap pembayaran zakat.
“Kalau dibandingkan, peningkatan kutipan zakat tahun ini tidaklah begitu besar, sekitar tiga hingga lima peratus sahaja. Sebagai contoh, tahun lalu kita berjaya mengutip RM141 juta dan tahun ini kita yakin jumlah tersebut akan meningkat.
“Peningkatan ini banyak dipengaruhi oleh kesedaran masyarakat, terutamanya daripada individu yang membuat pembayaran zakat melalui potongan gaji.
“Mereka kini lebih memahami hakikat dan manfaat pembayaran zakat, termasuk dari segi keberkatan. Dengan adanya kaedah potongan gaji, proses ini menjadi lebih mudah dan tidak membebankan mereka,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Tun Dr Wan Junaidi pada Rabu.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan bahawa kaedah potongan gaji memudahkan masyarakat melaksanakan kewajipan berzakat.
Langkah terbabit kata Abang Mohd Shibli mencerminkan peningkatan kesedaran dan tanggungjawab sosial di kalangan masyarakat dan entiti perniagaan di Sarawak dalam menyumbang kepada pembangunan ummah melalui zakat.
Tambahnya, zakat perniagaan daripada syarikat-syarikat di Sarawak, terutama yang berkaitan dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) terus menunjukkan peningkatan konsisten sejak lima hingga enam tahun lalu.
“Kami amat berterima kasih atas sokongan syarikat-syarikat ini. Kami berharap semakin ramai syarikat dan individu akan menyertai usaha ini, sekaligus memperkukuhkan amalan pembayaran zakat di negeri ini,” tambah beliau.
Turut hadir, Pengerusi Kumpulan PNB, Raja Tan Sri Dato’ Seri Arshad Raja Tun Uda, Timbalan Ketua Sektor Operasi, Mohammad Yusree Mohd Zain, Bahagian Komunikasi TBS, Surmiadi Rosli, Ahli Lembaga Pengarah PNB, Soedirman Aini, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Dato Abdul Rahman Ahmad Presiden dan Timbalan Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Dato Rick Ramli. -TVS