Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Penerima bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) bagi fasa keempat secara automatik layak menerima bantuan Sumbangan Asas Keperluan Sarawak (SKAS) dengan nilai bantuan di antara RM250 hingga RM800. Foto hiasan Envato

Penerima STR Fasa 4 layak terima bantuan SKAS, mula disalurkan suku pertama 2025

ByMuqri Aziz

KUCHING, 18 Dis: Penerima bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) bagi fasa keempat secara automatik layak menerima bantuan Sumbangan Asas Keperluan Sarawak (SKAS) dengan nilai bantuan antara RM250 hingga RM800 dan mula disalurkan mulai suku tahun pertama 2025 menerusi aplikasi SPay Global (Sarawak Pay).

Menerusi Soalan Lazim (FAQ) yang boleh dicapai melalui laman web rasmi Kerajaan Sarawak itu menyebut semakan boleh dilakukan menerusi laman web di https://sarawak.gov.my mulai 1 Januari 2025 namun tarikh sebenar penyaluran bantuan itu akan dimaklumkan kemudian melalui laman web terbabit.

FAQ itu turut mendedahkan kriteria kelayakan penerima iaitu hanya anak Sarawak pemegang Kad Pengenalan “K” yang beralamat dan menetap di Sarawak serta tiga kategori penerima yang layak iaitu isi rumah, bujang dan warga emas tiada pasangan dan tiada anak.

Nilai bantuan SKAS yang akan diterima adalah sebanyak RM800 bagi kategori isi rumah, RM400 bagi warga emas manakala RM250 bagi kategori bujang.

Bagi kategori isi rumah, pemohon haruslah berkahwin atau ibu atau bapa tunggal/balu/janda/duda yang mempunyai tanggungan (anak/ibu bapa) serta pendapatan kasar bulanan RM5,000 dan ke bawah dengan tiada had umur.

Bagi kategori bujang pula, pemohon haruslah berstatus bujang atau, ibu atau bapa tunggal/balu/janda/duda yang tiada tanggungan serta pendapatan kasar bulanan RM2,500 dan ke bawah dengan had umur antara 21 hingga 59 tahun.

Namun, penerima bujang Orang Kurang Upaya (OKU) berumur 19 tahun dan ke atas juga turut layak menerima bantuan itu namun pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) sepenuh masa tidak layak menerima bantuan tersebut.

Manakala bagi kategori warga emas, pemohon haruslah berstatus bujang atau ibu atau bapa tunggal/balu/janda/duda yang tiada anak dengan pendapatan kasar bulanan RM5,000 ke bawah dengan had umur 60 tahun dan ke atas.

Bagi bukan penerima bantuan SKAS secara automatik pula, mereka layak untuk membuat rayuan yang akan dibuka mulai 1 Februari 2025 dan keputusan rayuan itu boleh disemak bermula pada 1 Jun 2025.

Tarikh pemberian bantuan SKAS bagi permohonan rayuan akan diumumkan kelak.

Bantuan SKAS merupakan bantuan kewangan kepada golongan berpendapatan rendah melalui baucar digital yang boleh diakses melalui aplikasi SPay Global untuk pembelian barangan makanan asas.

Berita baik itu diumumkan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada pembentangan Belanjawan Sarawak 2025 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak baru-baru ini.

Untuk makluman lanjut, layari laman web rasmi Kerajaan Sarawak di https://sarawak.gov.my/web/home/article_view/0/376 atau menerusi aplikasi SPay Global di bahagian ‘Promotions’. – TVS

Tags: bantuan, SKAS, STR

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan