KUCHING, 18 Dis: Festival rock terbesar, Rock In The Jungle (RITJ) menghimpunkan barisan kumpulan rock lagenda dari Malaysia dan Indonesia bakal ‘menggegar’ Kampung Budaya Sarawak (KBS) di Santubong pada 28 hingga 29 Disember ini, mula jam 2 petang hingga 12.30 malam.
Authentic Ideas & Events dalam kenyataannya mengajak peminat muzik rock dari seluruh negara supaya tidak melepaskan peluang keemasan untuk sama-sama memeriahkan festival rock terbesar tahun ini.
‘Beberapa kumpulan rock terkenal seperti Wings, Sweet Charity, Edane, XPDC, Candy, Jemson serta bakat-bakat tempatan seperti Senseless, BNB, Criss X, dan JS Boys akan menggegar pentas dengan pelbagai genre muzik rock,” katanya.
Festival ikonik ini dianjurkan oleh Authentic Ideas & Events dengan sokongan daripada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak serta Tourism Malaysia.
Katanya, gerai makanan, pameran kraf tangan tempatan dan koleksi eksklusif barangan rasmi yang pasti memeriahkan suasana menjadi tarikan sepanjang RITJ.
“Acara lain juga akan dimulakan pada jam 2 petang dengan persembahan istimewa oleh kumpulan pemuzik tempatan di Pentas Pancaindera, memberi ruang kepada bakat tempatan untuk menyerlah.” ujarnya lagi.
Tidak hanya menjadi pusat perhimpunan peminat rock, festival ini juga memberi peluang untuk mengenali keindahan alam semula jadi Sarawak dan budaya tempatan dengan latar belakang indah Gunung Santubong.
Menurutnya, RITJ bukan sahaja menyemarakkan dunia muzik, tetapi juga memperkenalkan Sarawak sebagai destinasi utama untuk acara hiburan dan kebudayaan bertaraf dunia.
Bagi peminat tegar muzik rock, RITJ adalah tempat yang wajib dikunjungi pada hujung tahun ini. Gabungan muzik rock yang bertenaga dengan pesona alam semula jadi pasti memberikan kenangan yang tidak dapat dilupakan.
Untuk maklumat lanjut dan pembelian tiket, layari ticketmelon.com/kanzenarena/rockinthejungle. -TVS