MIRI, 18 Dis: Bertindak atas risikan dan aduan orang ramai, seramai enam individu warga asing telah ditahan oleh Unit Penguatkuasaan Imigresen (UPI) Miri di beberapa lokasi berasingan sekitar Bandaraya Miri semalam.
Jabatan Imigresen Malaysia Sarawak dalam kenyataan berkata, dalam operasi OPS BELANJA dan OPS SELERA yang bermula pada pukul 10 pagi tersebut, seramai 23 individu telah diperiksa, membabitkan penahanan seramai enam orang di dua lokasi iaitu di sebuah premis runcit dan premis makanan.
“Individu-individu yang terdiri daripada dua lelaki dan empat wanita tersebut telah ditahan oleh UPI Miri ketika sedang bekerja di kedua-dua lokasi serbuan.
“Dua individu lelaki warga tempatan turut dikenakan notis untuk hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan,” kata kenyataan itu.
Katanya, kesemua individu yang ditahan dalam operasi tersebut didapati melakukan kesalahan seperti tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah, tinggal melebihi masa, dan tidak mempunyai pas yang sah untuk tinggal di Malaysia.
“Kesemua kes merupakan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan adalah dinasihatkan untuk menyalurkan maklumat terus ke Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia yang berdekatan atau melalui saluran aduan online,” ujarnya. -TVS