KUALA LUMPUR, 18 Dis: Sarawak berpotensi menjadi hab data bagi pusat pemprosesan Kecerdasan Buatan (AI) dengan wujudnya Pusat Data gred Tier-IV di Santubong.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata pusat tersebut telah siap dibina Syarikat Irix pada 2022 yang berfungsi sebagai pusat data berprestasi tinggi.
“Sarawak mempunyai potensi tersebut dengan menawarkan perkhidmatan pusat data secara toleransi sifar peratus.
“Pada masa ini terdapat dua sistem kabel internet dasar laut antarabangsa yang menghubungkan Sarawak kepada negara lain.
“Ia termasuk Batam Sarawak Internet Cable System (BaSICS) dengan kapasiti sehingga 48Tbps yang telah siap pada 2022 dan South-East Asia Hainan-Hong Kong Express Cable System (SEA-H2X) dengan kapasiti 160Tbps yang sedang dalam pelaksanaan dan dijangka siap pada suku ketiga 2025,” katanya di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Senator Robert Lau Hui Yew mengenai bilangan kabel internet dasar laut yang menghubungkan Sarawak dengan negara lain serta pelan tindakan kerajaan untuk menambah bilangan kabel tersebut dari Sarawak ke negara lain.
Selain itu katanya, Sarawak juga telah dihubungkan dengan dua sistem kabel dasar laut domestik sedia ada iaitu Sistem Kabel Rakyat Malaysia (SKRM) oleh Telekom Malaysia Berhad (TM) yang menghubungkan antara Mersing dan Kuching, Bintulu serta Miri dengan purata kapasiti semasa 9.5Tbps.
“Manakala sistem kabel East-West menghubungkan Mersing dan Kuching dilaksanakan oleh Sacofa Sdn. Bhd. Dengan kapasiti semasa 600Gbps,” ulasnya lagi.
Menurutnya laluan kabel dasar laut itu adalah dalam kategori rangkaian teras yang menghubungkan Sarawak kepada dunia luar seperti Hong Kong, China, Filipina, Thailand, Singapura dan Indonesia.
Buat masa ini tambah beliau, kapasiti jaringan sedia ada adalah mencukupi bagi menampung permintaan masa hadapan. -TV