KUALA LUMPUR, 18 Dis: Pasaran ekonomi terbuka yang diamalkan negara dengan penawaran dan permintaan menjadi faktor utama dalam menentukan harga sesuatu barangan, Dewan Negara dimaklumkan hari ini.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Dr Fuziah Salleh berkata, di pihak kerajaan dua akta utama iaitu Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan 2011 dan Akta Kawalan Bekalan 1961, bagi memastikan kestabilan harga dan bekalan barangan keperluan.
“Kerajaan menggunakan pendekatan yang menyeluruh melalui penguatkuasaan dua akta utama iaitu seperti ketika musim perayaan apabila permintaan meningkat mendadak, kementerian melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sebagai langkah intervensi untuk memastikan harga barangan tidak melambung,” katanya di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Dato Shamsuddin Abd Ghaffar yang ingin tahu kejayaan kementerian dalam mengawal kenaikan harga barang dan kegiatan manipulasi pasaran.
Dewan Negara: Sarawak berpotensi jadi hab data AI di Kepulauan Borneo
Sementara itu bagi kawasan pedalaman pula, beliau memaklumkan Program Penyeragaman Harga dilaksanakan bagi mengatasi isu peningkatan kos pengangkutan, memastikan harga kekal stabil dan adil kepada pengguna.
“Usaha kementerian dalam menangani manipulasi pasaran yang dilakukan melalui cara seperti kartel dan salah guna kedudukan dominan oleh syarikat monopoli.
“Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) memainkan peranan penting dalam memastikan tidak berlaku pakatan harga atau eksploitasi pengguna.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang persaingan,” katanya. -TVS