SYDNEY, 18 Dis: Gempa bumi kuat yang melanda Vanuatu telah meragut nyawa 14 orang, menurut kerajaan negara Pasifik itu dalam kemas kini bencana yang diperoleh AFP pada Rabu.
Kematian yang disahkan termasuk empat di hospital ibu negara Port Vila, enam akibat tanah runtuh, dan empat lagi dalam bangunan yang runtuh manakala angka korban dijangka meningkat, menurut laporan tersebut.
Lebih daripada 200 orang telah menerima rawatan di hospital setakat ini, menurut laporan dari Pejabat Pengurusan Bencana Negara bertarikh lewat Selasa.
Gempa bumi itu menyebabkan “kerosakan struktur besar” pada sekurang-kurangnya 10 bangunan termasuk hospital utama, sebuah kedai besar yang runtuh dan misi diplomatik termasuk kedutaan AS, katanya.
Tiga jambatan dan dua talian bekalan elektrik turut rosak, menurut laporan itu.
Dua rizab air utama yang membekalkan Port Vila telah musnah sepenuhnya dan perlu dibina semula, kata kerajaan. Rangkaian bekalan air masih sedang dinilai.
Sambungan rangkaian mudah alih dan internet pula terputus-putus.
Jeti utama Port Vila ditutup disebabkan tanah runtuh besar.
Lapangan terbang pula tidak beroperasi tetapi boleh menerima bantuan kemanusiaan yang masuk, dengan catatan bahawa simpanan bahan api pesawat telah tercemar.