SIBU, 17 Dis: Rumah Panjang Tuai Rumah Sebastian Ngalang berusia 100 tahun terletak di Batu 6 ½ Jalan Oya di sini, mengalami kerosakan serius akibat angin kencang yang melanda petang semalam.
Insiden sekitar jam 5.45 petang tersebut menyebabkan sebahagian daripada bumbung rumah panjang itu terkopek, mengakibatkan kira-kira lapan unit pintu bilik (rumah) dan 30 orang penduduk terjejas.
Menurut Tuai Rumah Sebastian Ngalang, penduduk kini terpaksa mencari perlindungan sementara di bahagian ruai kerana rumah mereka terdedah sepenuhnya kepada cuaca buruk.
Malah, katanya, semua penghuni yang tinggal di rumah panjang terpaksa berteduh tanpa bekalan elektrik yang telah ditutup sebagai langkah keselamatan sejurus selepas kejadian itu.
“Kami bersyukur tiada kecederaan berlaku dalam kejadian ini. Namun, kerosakan yang dialami sangat teruk, khususnya pada bahagian bumbung,” katanya kepada TVS.
Beliau turut memaklumkan bahawa jumlah sebenar rumah yang terjejas masih dalam proses pengesahan, namun anggaran awal menunjukkan sebanyak lapan buah rumah rosak.
Susulan insiden itu, Sebastian menyeru agar pihak berkuasa dan badan berkaitan tampil memberikan bantuan segera.
Katanya, bantuan kewangan dan sumbangan bahan binaan amat diperlukan untuk membaik pulih rumah panjang tersebut yang menjadi warisan generasi penduduk di kawasan itu.
Katanya, penduduk berharap perhatian sewajarnya diberikan memandangkan rumah panjang ini bukan sahaja menjadi tempat tinggal mereka, tetapi juga melambangkan sejarah dan kebudayaan masyarakat setempat.
“Kami benar-benar memerlukan bantuan untuk memulihkan keadaan. Dengan usia rumah panjang yang sudah melebihi satu abad, kerosakan akibat bencana ini sangat sukar ditanggung sendiri oleh penduduk,” tambah beliau lagi.-TVS