MIRI, 17 Dis: Pertandingan ratu cantik, Miss Petite Continental Malaysia 2024 baru-baru ini mencuri perhatian dengan fokus untuk mempromosikan Miri sebagai destinasi pelancongan yang unik dan menarik.
Dirasmikan oleh Datuk Bandar Miri, Adam Yii Siew Sang, acara tersebut turut mendapat sokongan padu daripada Kementerian Pelancongan, Seni Kreatif, dan Industri Kreatif Sarawak.
Adam yang berbangga dengan pemilihan bandar raya ini sebagai tuan rumah menyifatkan bukan sahaja menyerlahkan keunikan Miri tetapi juga meningkatkan daya tarikannya sebagai destinasi pelancongan.
“Saya dimaklumkan bahawa terdapat usul untuk melantik pemenang Miss Petite Continental Malaysia 2024 sebagai Duta Bandaraya Miri.
“Saya tidak mempunyai sebarang bantahan terhadap cadangan ini. Malah, saya berharap duta tersebut dapat bekerjasama rapat dengan Majlis Bandaraya Miri dalam usaha mempromosikan Miri sepenuhnya sebagai destinasi pilihan,” katanya pada sidang media Miss Petite Continental Malaysia 2024 di Miri, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut memberikan kata-kata semangat kepada para peserta sambil menekankan bahawa pertandingan kecantikan bukan sekadar tentang penampilan fizikal semata-mata, tetapi juga kebijaksanaan dan pengetahuan yang dimiliki.
Pertandingan ini semakin menarik dengan 10 finalis yang akan bersaing untuk merebut gelaran Miss Petite Continental Malaysia 2024, yang akan berlangsung pada 21 Disember nanti.-TVS