MIRI, 17 Dis: Seramai enam warga asing ditahan dalam satu operasi mengejut Ops Sapu yang dilancarkan ke atas sebuah rumah tidak bernombor di Pekan Lapok, kira-kira 100 kilometer dari Miri, kelmarin.
Jabatan Imigresen Sarawak dalam kenyataan berkata, bertindak atas maklumat risikan, sepasukan anggota dari Unit Penguatkuasaan Imigresen (UPI) Miri telah diatur gerak ke lokasi yang dinyatakan pada lewat malam dan menahan kesemua individu warga asing tersebut yang sedang tidur.
“Individu-individu tersebut yang kesemuanya lelaki telah ditahan kerana melakukan kesalahan seperti tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah, tinggal melebihi masa, dan tidak mempunyai pas yang sah untuk tinggal di Malaysia.
“Kesemua kes merupakan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” kata kenyataan itu.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan adalah dinasihatkan untuk menyalurkan maklumat terus ke Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia yang berdekatan atau melalui saluran aduan online.- TVS