KUALA LUMPUR, 17 Dis: Sejumlah RM6.89 juta telah dibelanjakan setakat 2 Disember lepas untuk mengusahakan 1,100 hektar kawasan penanaman kelapa di Sarawak, Dewan Negara dimaklumkan hari ini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, jumlah itu merupakan sebahagian daripada peruntukan RM10 juta yang disalurkan kepada Jabatan Pertanian Sarawak di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
“Terima kasih Sarawak kerana sentiasa bersama menyahut apa yang dirancang oleh Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri (dalam sektor agromakanan negara),” katanya di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Senator Dato Ahmad Ibrahim yang ingin tahu peruntukan yang diberi kepada Sarawak untuk industri komoditi kelapa.
Kepada soalan asal berhubung status terkini komoditi kelapa yang sebelum ini hendak diletakkan di bawah dua lembaga iaitu Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (MPIB) dan Lembaga Koko Malaysia (LKM), Mohamad memaklumkan, kerajaan secara prinsipnya bersetuju dengan cadangan penubuhan Lembaga Perindustrian Nanas, Kelapa dan Durian Malaysia (LPNKDM).
Jelas beliau penubuhan itu akan dilaksanakan melalui pengstrukturan semula Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM).
“Pengstrukturan ini tidak memerlukan penubuhan entiti baharu bagi mengoptimumkan perbelanjaan kerajaan.
“Kementerian kini sedang melaksanakan analisis bagi cadangan penubuhan LPNKDM dan hasil kajian dijangka dikemukakan kepada Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) pada Mac 2025,” katanya di Dewan Negara hari ini.
Sementara itu beliau turut memaklumkan Sarawak juga menjadi antara pengeluar terbesar kepada tanaman nanas di Malaysia.
“Seruan kerajaan untuk (menggalakkan) penanaman nanas (mendapat sambutan) begitu ketara sehingga eksport kita berkembang daripada 800 kontainer kepada 1,700 kontainer tahun ini,” tambahnya.
Untuk rekod, Dasar Agromakanan Negara mengenal pasti nanas, kelapa dan durian merupakan antara komoditi bernilai tinggi dalam pasaran global dan mempunyai potensi tinggi kepada pengusaha tempatan. -TVS