KUALA LUMPUR, 17 Dis: Kerajaan memperuntukkan RM10 juta bagi menjalankan kajian geoteknikal struktur tanah di jalan-jalan utama sekitar ibu negara bagi memastikan kejadian lubang benam (sinkhole) tidak berulang.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa berkata, langkah itu merupakan pendekatan proaktif bagi mengenal pasti kawasan berisiko dan memastikan keselamatan infrastruktur bandar.
Jelas beliau, peruntukan tersebut diumumkan melalui Belanjawan 2025 bagi membantu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menangani isu berkenaan secara tuntas.
“Kajian geoteknikal ini amat penting untuk menilai struktur lapisan tanah secara menyeluruh.
“Dengan peruntukan ini, kita akan dapat mengenal pasti kawasan berpotensi bahaya dan mencegah insiden itu berulang,” katanya di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Senator Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh yang ingin tahu status atau laporan terkini mengenai isu sinkhole di tengah pusat bandar dan adakah kerajaan telah mengenal pasti kawasan-kawasan yang berpotensi berbahaya dan berkemungkinan kejadian yang sama berulang, terutamanya semasa peredaran angin monsun.
Berhubung perkembangan semasa insiden itu yang berlaku di Jalan Masjid India pada Ogos lalu, Zaliha memaklumkan, kerja-kerja baik pulih tapak telah siap sepenuhnya dan dibuka kepada orang ramai pada 10 November lalu.
“Namun, di kawasan Ground Zero berhampiran Wisma Melayu, kerja pembaikan masih berjalan dan dijangka selesai sepenuhnya hujung bulan ini.
“Insya-Allah, awal tahun depan, kawasan ini akan kembali beroperasi seperti biasa,”tambahnya. -TVS.