KUALA LUMPUR, 17 Dis: Sebanyak 16,884 permohonan telah diterima di bawah Program Sejahtera Komuniti MADANI sehingga 12 Disember 2024, Dewan Negara dimaklumkan hari ini.
Menteri Wilayah Persekutuan Dr. Zaliha Mustafa berkata, daripada jumlah itu sebanyak 6,547 permohonan diluluskan melibatkan peruntukan bernilai RM590 juta.
Dewan Negara: RM10 juta laksana kajian elak kejadian lubang benam berulang
Jelas beliau, jumlah berkenaan adalah sebahagian daripada sasaran RM1 bilion yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2024.
“Sarawak mencatatkan peruntukan tertinggi sebanyak RM100 juta dengan 1,124 permohonan diluluskan, diikuti Johor dengan nilai geran RM69.58 juta untuk 742 permohonan.
“Negeri lain seperti Perak, Terengganu dan Kelantan turut menerima peruntukan signifikan bagi usaha pembangunan komuniti dan kesejahteraan rakyat,” katanya di sini hari ini.
Dewan Negara: Malaysia mahu pastikan ASEAN tidak jadi mangsa negara maju lupus sisa plastik
Zaliha menjawab pertanyaan Senator Manolan Mohamad yang ingin tahu jumlah permohonan Program Sejahtera Komuniti MADANI melalui Dana Komuniti MADANI mengikut negeri dan berapakah permohonan yang sedang diproses dan yang telah diluluskan serta perincian permohonan daripada masyarakat Orang Asli.
Sementara itu, bagi masyarakat Orang Asli, sebanyak 111 permohonan diterima, dengan 52 permohonan yang memenuhi syarat telah diluluskan melibatkan peruntukan RM5.2 juta.
“Negeri Perak mendahului dengan 28 permohonan bernilai RM2.8 juta, diikuti Johor dengan 11 permohonan bernilai RM1.1 juta dan Pahang dengan tujuh permohonan bernilai RM7 juta,” tambah beliau. -TVS.