KUALA LUMPUR, 17 Dis: Malaysia komited untuk mengambil langkah tegas menangani isu pengimportan sisa plastik dan penjajahan sisa di rantau ini menerusi Kepengerusian ASEAN yang bakal dipikul tahun hadapan.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, negara-negara ASEAN sering menjadi mangsa kepada tindakan negara maju yang mengeksport sisa plastik dengan alasan kitar semula, namun hakikatnya menjadikan rantau ini sebagai tapak pelupusan global.
Beliau menegaskan bahawa tindakan tersebut melanggar prinsip keadilan alam sekitar dan tidak boleh diterima.
“Malaysia mahu negara maju mencontohi langkah Kesatuan Eropah yang mengenakan sekatan ketat terhadap eksport sisa plastik ke negara bukan Organisasi Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).
“Tindakan tegas ini penting bagi memastikan keadilan kepada negara-negara membangun,” katanya ketika menjawab soalan Senator Tuan Michael Mujah di Dewan Negara hari ini.
Tambah beliau, dalam usaha menangani isu ini di peringkat domestik, kerajaan telah memperketatkan kawalan di pintu masuk negara serta meningkatkan penguatkuasaan terhadap kilang haram yang memproses sisa plastik.
Selain itu, kerjasama dengan organisasi antarabangsa seperti Interpol dan Sekretariat Konvensyen Basel turut diperkukuh bagi memantau serta membanteras aktiviti haram berkaitan sisa plastik.
Malaysia kata Nik Nazmi juga membawa cadangan pengurangan kuota import sisa plastik sebagai usaha jangka panjang untuk mengalihkan tumpuan kepada pembangunan industri bernilai tinggi yang lebih lestari.
“Sebagai pemimpin ASEAN, Malaysia bertekad memperkenalkan dasar yang lebih tegas dan berkesan di peringkat serantau.
“Usaha ini diharapkan dapat melindungi alam sekitar dan memastikan rantau ASEAN tidak lagi menjadi mangsa penjajahan sisa global,” ujar beliau. – TVS