KUALA LUMPUR, 17 Dis: Seramai 357,898 murid Tahun Enam, Tingkatan Tiga dan Tingkatan Lima telah mencapai tahap sederhana dan fasih digital melalui Digital Competency Score (DCS) yang dilaksanakan Kementerian Pendidikan (KPM).
Timbalan Menterinya, Wong Kah Woh berkata selain itu menerusi Pengesanan Tahap Kompetensi Digital Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP), sebanyak 76.1 peratus daripada 399,059 orang yang dinilai setakat 30 November lepas didapati berada pada tahap pertengahan dan lanjutan.
Dewan Negara: RM6.89 juta dibelanjakan usahakan kawasan penanaman kelapa di Sarawak
“(Sehubungan itu) bagi merapatkan lagi jurang digital, KPM telah mewujudkan pasukan guru Jauhari Digital sebagai pakar dalam pengintegrasian teknologi manakala Guru Peneraju Generasi Digital (GPGD) telah diberi latihan oleh rakan strategik untuk meningkatkan kompetensi digital.
“Pada masa sama KPM juga telah menyediakan pelantar Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa) yang membolehkan murid mengakses buku teks digital, Kit Pemugaran Literasi dan Numerasi serta gamifikasi Minecraft,” katanya di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Senator Amir Md Ghazali yang ingin tahu mengenai usaha kerajaan memastikan generasi masa hadapan mempunyai kemahiran yang relevan dalam menghadapi era digital dan Revolusi Industri 4.0.
Sementara itu Kah Woh menambah, KPM juga mengambil inisiatif untuk melengkapkan institusi pendidikan dengan peralatan ICT termasuk mengagihkan 244,158 peranti di 9,093 buah sekolah sejak 2022 hingga tahun ini.
Dewan Negara: RM10 juta laksana kajian elak kejadian lubang benam berulang
“Inisiatif tersebut mencapai matlamat satu peranti untuk setiap murid di sekolah menengah dan nisbah 1:10 di sekolah rendah semasa Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dilaksanakan.
“KPM turut melaksanakan Agenda Reformasi Pendidikan yang bertujuan untuk memastikan keberhasilan yang berkualiti dalam Pelan Pembangunan Pendidikan.
“Antaranya semua prasekolah diletakkan di bawah penyelarasan KPM untuk menangani isu keciciran di peringkat awal serta memberi peluang kepada semua anak-anak mendapat pendidikan terbaik dan berkualiti serta percuma.
“KPM juga telah memperkenalkan Program Sekolah Model Khas Komprehensif 9 (K9) di mana sekolah menyediakan peluang pendidikan pada peringkat rendah dan menengah rendah di bawah pentadbiran yang sama daripada Tahun Satu sehingga Tingkatan Tiga,” jelasnya.
Sekolah K9 menurut Kah Woh, juga diwujudkan untuk menangani isu keciciran di kawasan pedalaman terutamanya dalam kalangan murid Orang Asli dan Peribumi.
Setakat ini, terdapat 28 buah sekolah K9 di seluruh negara. -TVS