LAWAS, 17 Dis: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terpaksa mendapatkan bantuan bomba mengangkat seorang lelaki obesiti dengan berat badan 150 kilogram yang pitam di sebuah restoran Jalan Datuk Racha Umong di sini, petang tadi.
Komander Operasi, Mursen Timol berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kes itu jam 3.30 petang dengan menggerakkan enam anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas ke lokasi kejadian.
“Setibanya pihak bomba di lokasi kejadian, mendapati seorang mangsa lelaki obesiti dianggarkan berat 150 kilogram dalam keadaan pitam sedang dirawat oleh Pegawai Perubatan dari Hospital Lawas.
“Pihak bomba segera bertindak dengan membantu memindahkan mangsa dari tingkat 1 ke tingkat bawah bangunan menggunakan stretcher,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, setelah mangsa berusia 47 tahun itu berjaya dipindahkan, mangsa kemudiannya dimasukkan ke dalam ambulans KKM dan dihantar ke Hospital Lawas untuk rawatan lanjut.