TOKYO, 17 Dis: Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) kini secara rasmi memegang 10 peratus saham dalam Pertama Ferroalloys Sdn Bhd selepas satu Memorandum Persefahaman (MoU) dimeterai hari ini.
Majlis bersejarah itu disaksikan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, di sebuah hotel terkemuka di sini.
Perjanjian Pemindahan Saham ditandatangani oleh Pengurus Besar BDA, Datu Muhammad Yakup Kari dan Pengerusi Pertama Ferroalloys, Hirotaka Suzuki.
Kerjasama ini bukan sahaja melonjakkan pertumbuhan industri di Sarawak, malah membuka pintu kepada usaha kelestarian serta memperkukuh pertukaran ekonomi dan pengetahuan antara Sarawak dan Jepun.
Turut hadir, Duta Besar Malaysia ke Jepun, Dato’ Shahril Effendi Abd Ghany dan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Pertama Ferroalloys sebelum ini dimiliki sepenuhnya oleh pemegang saham Jepun, kini memulakan era baharu dengan BDA menyertai sebagai pemegang saham strategik.
“Melalui persefahaman ini, kami menjangkakan sokongan daripada setiap pihak untuk terus memacu ekonomi bukan sahaja di Bintulu tetapi Sarawak dan Malaysia secara keseluruhannya, selari dengan visi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 Sarawak.
“Kerjasama ini bukan sahaja melibatkan pelaburan kewangan, malah turut memberi sumbangan positif kepada kesejahteraan masyarakat dan alam sekitar di Sarawak,” ujarnya.
Terdahulu Pertama Ferroalloys dan Kementerian Perdagangan,Ekonomi dan Industri (METI) Jepun bertemu Abang Johari pada Isnin bagi membincangkan penggunaan teknologi alam sekitar canggih untuk menyokong kelestarian Sarawak.
Syarikat itu membentangkan inisiatif Green-Triple Nine Manganese yang menghasilkan Electrolytic Manganese Metal (EMM) dan High Purity Manganese Sulphate (HPMnS),mineral penting untuk keluli dan bateri kenderaan elektrik.
“Produk ini, dengan kandungan mangan 99.9 peratus, diiktiraf secara global sebagai sumber kritikal untuk teknologi hijau,” katanya dalam satu kenyataan.
Untuk rekod, loji peleburan Pertama Ferroalloys di Samalaju, Bintulu merupakan loji ferro mangan dan ferrosilikon berskala besar pertama di Malaysia. -TVS