KUCHING, 16 Dis: Semangat perpaduan dan kasih sayang jelas terpancar dalam Program Tautan Kasih PEKEMA Sarawak sempena Hari Krimas yang berlangsung meriah di Dewan Serbaguna SDNU Siol Kandis, di sini pada Isnin.
Dalam usaha meringankan beban golongan kurang berkemampuan, PEKEMA Sarawak mengagihkan sebanyak 300 bakul makanan kepada penduduk di kawasan DUN N.7 Samariang yang beragama Kristian, sebagai persediaan menyambut Hari Natal tidak lama lagi.
Timbalan Menteri di Pejabat Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Kerajaan Negeri–Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali menzahirkan harapan agar keharmonian yang menyatukan masyarakat pelbagai kaum di Sarawak terus kekal terpelihara.
“Perpaduan kaum ini adalah tunjang kejayaan Sarawak, kita harus terus menjaga keharmonian ini tanpa mengira perbezaan latar belakang.
“Inilah kekuatan negeri kita yang sinonim sebagai negeri perpaduan,” katanya penuh optimis.
Beliau turut memuji usaha PEKEMA Sarawak yang sentiasa konsisten membantu golongan memerlukan melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka.
Sementara itu, Presiden PEKEMA Sarawak, Dato Ismail Abang Saufi, berkata program penyampaian sumbangan seperti ini telah menjadi tradisi tahunan pihaknya melibatkan semua perayaan utama di Sarawak termasuk Hari Raya, Hari Gawai, Tahun Baru Cina, dan Hari Natal.
“Matlamat kami adalah untuk menyebarkan kebahagiaan dan meringankan beban mereka yang kurang bernasib baik.
“Ini adalah tanggungjawab sosial kami, dan kami harap sumbangan ini dapat menceriakan penerima menjelang sambutan Natal,” ujar beliau.
Setiap bakul makanan yang diagihkan mengandungi barangan asas seperti beras, minyak masak, gula, tepung, bihun, biskut, dan pelbagai makanan kering lain.
Inisiatif ini berjaya menzahirkan semangat 1Sarawak yang menyatukan rakyat tanpa mengira agama atau kaum.
Menurutnya, program ini bukan sekadar menyerahkan bantuan, tetapi menjadi simbolik kepada perpaduan dan kebersamaan rakyat Sarawak yang terus utuh merentasi perbezaan agama dan budaya.
Sambutan yang meriah ini melakar satu lagi detik manis dalam menyemarakkan semangat kasih sayang dan keprihatinan menjelang Hari Natal.
Majlis itu turut dihadiri oleh Penghulu Jos Jawa, Exco dan AJK PEKEMA Sarawak, serta wakil-wakil Exco PBB Cawangan N.7 Samariang. -TVS