KINABATANGAN, 16 Dis: Projek penanaman rumput napier di Kinabatangan kini menjadi penyelesaian baharu dalam mengurangkan konflik antara manusia dengan gajah Borneo sekali gus membantu memulihara spesies yang semakin terancam itu.
Ia dimulakan di Kampung Bilit awal tahun ini oleh Responsible Elephant Conservation Trust (RESPECT) dengan menyasarkan penyediaan sumber makanan tetap bagi gajah di kawasan tersebut melalui penanaman rumput napier yang merupakan salah satu makanan tinggi khasiat untuk gajah.
Pengasas RESPECT Alexander Yee berkata, projek tersebut telah menunjukkan hasil positif dalam masa singkat.
“Dua bulan selepas rumput napier ditanam, sekumpulan tujuh gajah termasuk seekor anak gajah datang ke kawasan itu dan memakan separuh daripada rumput tersebut. Ini menunjukkan bahawa usaha ini berkesan, kerana gajah telah mengenal pasti kawasan ini sebagai sumber makanan mereka,” katanya.
Menurut Alexander, gajah tersebut telah kembali ke kawasan itu sebanyak tiga kali sejak Julai lalu sekali gus mengurangkan insiden gajah memasuki kawasan kampung dan ladang penduduk.
Beliau berkata, inisiatif tersebut bukan sahaja penting untuk kelangsungan hidup gajah Borneo tetapi sebagai langkah untuk meminimumkan konflik antara gajah ddengan manusia.
“Jika kita boleh menyediakan kawasan yang cukup untuk gajah menghabiskan masa mereka di situ, mereka tidak perlu lagi masuk ke kawasan perkampungan untuk mencari makanan,” ujarnya.
Sementara itu, penyelia projek Syahronn Rahman berkata, penduduk kampung yang sebelum ini melihat gajah sebagai ancaman kini mula memahami pentingnya pemuliharaan haiwan tersebut.
“Dulu ramai tidak suka gajah kerana mereka dianggap perosak. Tetapi sekarang, ramai yang terlibat dalam projek ini dan membantu menanam rumput napier untuk memastikan gajah tidak lagi masuk ke kampung,” jelasnya.
Projek tersebut turut mendapat sokongan daripada pihak luar termasuk suntikan dana daripada Intrepid Foundation, Australia, sukarelawan antarabangsa dan institusi pendidikan seperti Sekolah Kebangsaan Bilit. -TVS