KUALA LUMPUR, 16 Dis: Kenderaan elektrik (EV) pertama Malaysia, Proton e.MAS 7 akan menjadi kereta rasmi negara sempena Kepengerusian ASEAN tahun depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia komited untuk menjadi contoh di Rantau ini bukan sahaja dalam mempromosikan potensi negara dalam mengeluarkan kenderaan, tetapi juga dalam pembangunan EV selari dengan komitmen sifar bersihnya.
“Pelancaran SUV EV pertama Proton hari ini amat tepat pada masanya dan ia akan menjadi pemangkin yang menggerakkan kita ke era mobiliti rendah karbon seterusnya.
“Adalah menjadi hasrat kerajaan untuk Proton dan rakan strategiknya Geely untuk terus menerajui pembangunan kecekapan automotif dan ekosistem Malaysia,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Proton e.MAS 7 di Pusat Perdagangan dan Konvensyen Antarabangsa Malaysia (MiTEC) di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, ketika ini lebih daripada 75 peratus tenaga yang digunakan di Asia menggunakan sumber hidrokarbon dengan beliau optimis akan berlaku peningkatan dua kali ganda menjelang 2030.
Sehubungan itu, Anwar berkata, wujud keperluan untuk mengimbangi permintaan dengan sekuriti, kemampuan, dan kemampanan.
“Di bawah Inisiatif Peralihan Bertanggungjawab, Malaysia meningkatkan daya saingnya dengan mengurangkan kebergantungan bahan api fosil dan memupuk pertumbuhan dalam mobiliti hijau, tenaga boleh diperbaharui dan penyelesaian penyimpanan tenaga,” ujarnya.- TVS