KUALA LUMPUR, 16 Dis: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) bekerjasama pertukaran maklumat mengenai kewajipan berkanun penyedia perkhidmatan penerbangan menerusi satu Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Sri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, MoU itu bertujuan untuk melindungi pekerja dalam sektor penerbangan daripada caruman tertunggak.
Menurut beliau, kerjasama itu merupakan usaha pertama MAVCOM dengan badan berkanun itu bagi mempercepatkan prosedur penguatkuasaan, membolehkan suruhanjaya menjalankan siasatan awal dan menangani ketidakpatuhan dalam kalangan pemegang lesen dan permit industri penerbangan.
“MoU ini memperkukuhkan pematuhan terhadap tiga rangka kerja perundangan yang penting dengan dua daripadanya adalah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800), yang memastikan perlindungan menyeluruh serta caruman yang adil dan saksama bagi semua pemegang lesen dalam sektor penerbangan.
“Selain itu, ia turut merangkumi pematuhan terhadap Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 (Akta 771) yang menetapkan syarat-syarat pelesenan bagi penyedia perkhidmatan industri penerbangan di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pemeteraian MoU itu di Wisma PERKESO di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kerjasama itu juga membolekan pihaknya memperkenalkan penyelesaian inovatif untuk menangani cabaran semasa dalam industri itu dan pada masa yang sama mengurangkan kadar pengangguran negara.
“Kami memberi keutamaan kepada penempatan pekerja mahir Malaysia dalam peranan kritikal, yang secara efektifnya akan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing, di samping mengekalkan piawaian tinggi industri. Tonggak utama kerjasama strategik ini ialah National Career Exploration Centre (NPCEC) yang akan dilancarkan pada 2025,” ujarnya.
Dalam pada itu, Pengerusi Eksekutif MAVCOM, Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata, MoU itu menggariskan objektif secara bersama bertujuan melindungi kebajikan pekerja sektor penerbangan dengan memastikan hak mereka sentiasa terjamin.
“Kerjasama ini meletakkan asas untuk inisiatif strategik yang bertujuan untuk meningkatkan kebolehpasaran dan mewujudkan peluang pekerjaan dalam sektor penerbangan dengan memanfaatkan program PERKESO.
“Kami akan bekerjasama dengan PERKESO dalam penganjuran inisiatif kebolehkerjaan untuk merapatkan jurang antara bakat dan peluang, memupuk ekosistem dinamik untuk tenaga kerja
penglibatan dan penempatan,” katanya.
Saripuddin menambah, MAVCOM juga sedang meneroka kerjasama dengan pengawal selia lain, seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam usaha badan itu untuk memperkukuh mekanisme pengawasan merentas sektor. – TVS