SIBU, 16 Dis: Pengiktirafan dan kepercayaan daripada industri tempatan terkemuka antara faktor membantu kejayaan Universiti Teknologi Sarawak (UTS) melahirkan ramai graduan cemerlang, seterusnya menyediakan tenaga kerja mahir bagi menampung keperluan industri negeri ini.
Naib Canselor UTS Prof Datuk Dr Khairuddin Ab Hamid berkata pihak industri tempatan bukan sekadar rakan kolaborasi, malah memberi sokongan tidak berbelah bahagi, menawarkan panduan, kritikan dan penghargaan.
Beliau berbangga kerana UTS memperoleh lebih banyak pengiktirafan anugerah bagi graduan cemerlang dilahirkan universiti itu berbanding universiti lain di negara ini.
“Kejayaan sesebuah universiti tidak hanya diukur melalui kecemerlangan akademik tetapi juga pengiktirafan dan kepercayaan yang diperoleh daripada industri.
“Kami (UTS) berbangga kerana telah membina persahabatan yang kukuh dengan ramai pemimpin industri yang telah menyokong kami, menawarkan panduan, kritikan, dan pujian mereka, membantu kami berkembang dan cemerlang,” katanya pada Malam Graduasi ke-sembilan UTS di sini malam tadi.
Khairuddin berkata kebolehpasaran graduan UTS mencecah 96 peratus dan sokongan pihak industri membolehkan UTS mendidik graduan yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik tetapi juga bersedia untuk menyumbang kepada pembangunan Sarawak dan Malaysia. -TVS