KUCHING, 16 Dis: Mayat pekerja kapal lelaki warganegara Myanmar yang lemas selepas jatuh sungai di Terminal Sejingkat di sini semalam ditemui terapung pagi ini.
Komander Operasi, Mohamad Meramit berkata, mayat Win Kyaw Paik,49, dijumpai dalam radius empat kilometer dari Pusat Kawalan Bomba (PKB) pada jam 10.14 pagi.
“Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari kedua diteruskan pada jam 6.30 pagi dengan pencarian dilakukan secara surface searching dalam kira-kira radius 500 meter dari lokasi PKB menggunakan bot aluminium dengan kekuatan lima anggota bomba.
“Operasi tinjauan udara turut dilakukan pihak PGU di sekitar lokasi ke hilir sungai dalam radius 700 meter, selain rondaan surface searching ke hilir sungai di sekitar Kampung Sejingkat dengan jarak dua kilometer dari PKB,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, dengan penemuan itu, operasi SAR ditamatkan pada jam 11.30 pagi dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Dalam kejadian semalam, mangsa jatuh sungai semasa melalui jambatan menuju ke kapal jenis muatan kontena dan kejadian berlaku pada jam 12.10 tengah malam hasil maklumat daripada pengawal keselamatan. -TVS