BUTTERWORTH, 16 Dis: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyita sebanyak 17 kenderaan termasuk 14 motosikal dipandu warga asing menerusi satu operasi di Bulatan Tun Hussain Onn, Seberang Jaya dekat sini kelmarin.
JPJ Pulau Pinang dalam kenyataan menjelaskan, Ops Khas Pemandu Warga Asing (PeWA) selama kira-kira tiga jam bermula pukul 7 pagi itu turut membabitkan 116 saman terhadap warga Pakistan, Bangladesh, Myanmar dan lndonesia serta etnik Rohingya yang diperiksa.
“Sebanyak 14 motosikal disita bersama kereta (dua) dan van (sebuah) selain sebuah kenderaan juga disita kerana mempamer nombor pendaftaran kenderaan lain.
”Antara kesalahan tertinggi adalah tiada lesen memandu, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans,” menurut kenyataan tersebut.
Menurut kenyataan itu, penguatkuasaan tersebut diadakan bagi memantau, mengesan dan mengambil tindakan terhadap ketidakpatuhan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan Kaedah-Kaedah di bawahnya terhadap pemandu warga asing. – TVS