MIRI, 16 Dis: Enam unit berek pekerja ladang di Suai, Niah dekat sini musnah dalam kebakaran hari ini.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Batu Niah, Rary Binjie, pihaknya menerima panggilan berhubung kes itu jam 1.06 tengah hari dengan menggerakkan enam anggota Balai Bomba dan Penyelamat Batu Niah ke lokasi kejadian.
“Kebakaran melibatkan sebuah berek pekerja enam pintu (unit) yang telah terbakar keseluruhan. Empat pintu berpenghuni manakala dua pintu lagi tidak berpenghuni. Semua penghuni selamat,” katanya dalam kenyataan.
Anggota bomba bertindak melakukan pemadaman dengan menggunakan satu aliran 400 kaki, satu nozel dan sumber air dari jentera.
Katanya, setelah memastikan tiada lagi punca api dan keadaan terkawal, pasukan berkenaan bertolak balik ke balai.
Operasi pemadaman tamat sepenuhnya pada jam 3.46 petang. Punca dan taksiran kerugian akibat kebakaran itu masih dalam siasatan.