KUALA LUMPUR, 16 Dis: Dewan Negara dimaklumkan sebanyak 17 projek baharu dan 53 projek sambungan di bawah Program Bekalan Air Luar Bandar (BALB) di Sarawak diluluskan pada tahun ini.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, kos keseluruhan projek berjumlah RM3.16 bilion manakala peruntukan yang diluluskan pada 2024 adalah sebanyak RM152.5 juta.
“Daripada 70 projek yang diluluskan itu, lapan projek dalam peringkat pembinaan, 45 projek dalam peringkat pra-pelaksanaan serta 17 projek siap dan dalam proses bayaran akaun muktamad,”katanya di sini hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Senator Pele Peter Tinggom mengenai perancangan kementerian untuk agensi pelaksana di Sarawak bagi melaksanakan projek-projek bekalan air yang telah diluluskan namun tidak dapat dilaksanakan serta projek-projek baharu.
Menurut Rubiah, Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak bertanggungjawab secara langsung bagi pelaksanaan projek tersebut di Sarawak sebagai Pegawai Penguasa (SO).
“Bermula pada tahun ini, JBALB telah dilantik sebagai Agensi Pelaksana bagi melaksanakan 17 projek BALB di Sarawak yang bernilai RM50 juta dan ke bawah,” katanya.
Dalam pada itu Rubiah berkata rancangan pengiktirafan JBALB sebagai Jabatan Teknikal selaras dengan Arahan Perbendaharaan (AP) 182 kini dalam penelitian dan pertimbangan Kementerian Kewangan. -TVS