KUALA LUMPUR, 16 Dis: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) telah melaksanakan langkah bagi menghadapi perubahan iklim yang tidak dijangka, Dewan Negara dimaklumkan hari ini.
Timbalan di KPKM, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, ia supaya sektor agromakanan negara termasuk penanaman padi tidak terjejas.
Jelas beliau, antara langkah tersebut termasuklah melaksanakan penyelenggaraan saliran dan kerja-kerja pembersihan parit di petak sawah bagi memastikan pengaliran air masuk dan keluar lancar.
Dewan Negara: RM3.16 bilion kos keseluruhan program bekalan air luar bandar di Sarawak
“Yang kedua, (kita) menyelenggara rumah-rumah pam dan mengedarkan pam air bergerak kepada pesawah di kawasan yang terjejas dan ketiga,membuat pemantauan dan memberi khidmat nasihat kepada pesawah supaya menangguhkan jadual penanaman padi buat sementara waktu sehingga keadaan cuaca kembali pulih,” katanya di sini hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Senator Datuk Dr. Mohd Hatta Md Ramli yang ingin tahu perancangan kementerian dalam membantu para pesawah menghadapi perubahan iklim yang tidak dijangka seperti banjir baru-baru ini yang menyebabkan kerugian hampir RM40 juta.
Dewan Negara: 20 peratus usahawan SPUMI gagal lunas pinjaman
Sementara itu Arthur Joseph berkata, kementerian juga telah menyelaras jadual penanaman bersama dengan Jabatan Pertanian (DOA) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengikut keadaan cuaca semasa.
“(Seterusnya kita turut) menggalakkan penggunaan benih yang tahan kemarau dan mempunyai tempoh matang yang singkat untuk ditanam di kawasan sawah yang tidak mempunyai sistem pengairan dan kurang sumber air,” katanya.
Berhubung banjir, beliau memaklumkan, KPKM telah menyediakan Tabung Bencana Tanaman Padi bagi pesawah padi, Tabung Bencana Pertanian bagi pengusaha tanaman selain padi dan Skim Takaful Tanaman Padi, atas keprihatinan terhadap petani yang terkesan akibat bencana banjir.
“Bagi Tabung Bencana Tanaman Padi, bantuan ini diberikan secara tunai khusus kepada pesawah yang mengalami kerugian akibat bencana alam.
“Mekanisme ini melibatkan beberapa peringkat penilaian meliputi penyediaan Laporan dan Penilaian Kerugian oleh agensi di lapangan bagi mengenal pasti tahap kerosakan yang dihadapi oleh pesawah.
“Seterusnya, laporan lengkap akan dibentangkan dan dinilai oleh Jawatankuasa Teknikal Peringkat Negeri dan Jawatankuasa Induk di peringkat kementerian,” ujarnya. -TVS.