KUALA LUMPUR, 16 Dis: Dewan Negara dimaklumkan sebanyak 20 peratus usahawan yang menerima pembiayaan menerusi Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) gagal melunaskan pinjaman.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Sri R. Ramanan berkata, ini menyebabkan 1,877 usahawan berkenaan telah disenaraikan dalam agensi pelaporan kredit
Jelas beliau, SPUMI yang diuruskan oleh Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN)Â sejak 2019 hingga November 2024, TEKUN Nasional telah meluluskan pembiayaan sebanyak RM204.5 juta kepada 9,412 usahawan.
“Bagi menangani isu pembayaran semula pembiayaan, TEKUN Nasional telah mengambil beberapa langkah termasuk mengadakan program pendidikan kewangan bersama Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bagi memberi latihan pengurusan kewangan dan perancangan perniagaan untuk membantu usahawan mempunyai aliran tunai yang stabil dan seterusnya dapat melunaskan pinjaman,” katanya di sini hari ini.
Dewan Negara: RM3.16 bilion kos keseluruhan program bekalan air luar bandar di Sarawak
Ramanan menjawab pertanyaan Senator Datuk C. Sivaraj yang ingin tahu jumlah penerima pinjaman SPUMI sejak 2019 dan berapakah peratusan peminjam disenarai hitam akibat gagal membayar serta apakah langkah-langkah untuk menangani isu pembayaran balik tersebut.
Mengulas lanjut, Ramanan berkata, TEKUN juga menjalankan pemantauan berkala terhadap usahawan termasuk memberikan sokongan bimbingan bagi membantu mereka mengatasi cabaran kewangan.
“(Selain itu) TEKUN Nasional juga telah memperkukuhkan urusan perhubungan dalam proses pemungutan hutang melalui penghantaran peringatan automatik yang memudahkan usahawan menguruskan jadual pembayaran mereka.
“(Kita juga) menawarkan opsyen penstrukturan semula pinjaman kepada usahawan yang menghadapi kesukaran kewangan merangkumi pelan pembayaran yang lebih fleksibel seperti pelanjutan tempoh pembayaran atau pengurangan bayaran bulanan,” katanya. -TVS.