SARATOK, 16 Dis : Penduduk Kabong digesa memanfaatkan peluang yang disediakan kerajaan melalui penganjuran program Bantuan Lesen Memandu (BLM) bermula Januari hingga Februari tahun depan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata, program itu bakal memanfaatkan lebih 1,000 penunggang motosikal yang belum memiliki lesen.
Katanya, BLM merupakan sebahagian inisiatif kerajaan untuk membantu golongan berpendapatan rendah (B40) mendapatkan lesen memandu pada kos yang lebih rendah.
“Program dianjurkan bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan kerjasama Pusat Khidmat DUN N.40 Kabong dan institut memandu.
“Pihak JPJ bermurah hati untuk memberi kelonggaran sekiranya angka melebihi 1,000 orang, sehubungan itu, saya merayu penduduk supaya mengambil kesempatan itu untuk turut serta kerana ia jarang dianjurkan terutama di kawasan ini,” katanya.
Beliau berkata kepada TVS selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Program BLM Peringkat DUN N.40 Kabong, di sini, hari ini.
Jelasnya, permohonan program iaitu tapisan akhir dan penerimaan borang bermula 16 hingga 29 Disember ini manakala mesyuarat penyelarasan pendaftaran kursus, latihan Kurikulum Pendidikan Pemandu (KPP01) dan ujian bertulis khas bermula 4 dan 11 Januari tahun depan.
Sementara latihan KPP02 dan KPP03 pula pada 26 Januari sebelum ujian praktikal pada 8 Februari dan disusuli majlis penutupan rasmi yang dijangka berlangsung pada 22 Februari 2025.
“Program juga bertujuan meringankan beban kewangan serta memberi peluang kepada mereka untuk mendapatkan lesen memandu motosikal yang dianggap penting untuk mobiliti dan peluang pekerjaan,” ujarnya. – TVS