KUCHING, 16 Dis: Sarawak mencipta sejarah baharu apabila meraih dua rekod dunia yang membanggakan, mengukuhkan lagi komitmen negeri ini dalam memelihara dan mempromosikan budaya warisan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum Kennedy Chukpai Ugon berkata kejayaan pertama dicapai melalui Arca Sape Terbesar – satu karya seni luar biasa yang diperbuat daripada logam terpakai, terutamanya bahagian motosikal.

Arca gergasi alat muzik Orang Ulu itu mempunyai ukuran yang menakjubkan iaitu kira-kira 12 meter dengan berat 3,000 kilogram.
Rekod kedua pula tercatat dengan Peserta Terbanyak dalam Persembahan Muzik dan Tarian Tradisional Orang Ulu yang melibatkan seramai 1,212 peserta dengan 16 jenis alat muzik tradisional.
“Persembahan yang berlangsung dengan penuh warna-warni ini memperlihatkan keindahan serta kepelbagaian budaya masyarakat Orang Ulu, yang turut dipersembahkan di hadapan penonton dan pemerhati dari seluruh dunia,” kata Chukpai ketika dihubungi TVS, hari ini.
Lebih membanggakan apabila dua rekod ini dicatatkan dalam Elite World of Records menerusi penganjuran Pesta Apau Koyan di Sungai Asap, Belaga pada 12 hingga 14 Disember.
Chukpai berkata, kedua-dua pencapaian ini bukan sahaja menjadi bukti kreativiti dan keazaman rakyat Sarawak, tetapi juga menunjukkan usaha berterusan negeri ini dalam memelihara dan mempopularkan budaya tempatan di persada dunia.
“Kejayaan ini melambangkan semangat juang rakyat Sarawak dalam menghargai dan memelihara warisan budaya kita. Selain itu, ia juga menjadi platform untuk memperkenalkan keunikan seni dan muzik tradisional Sarawak kepada dunia,” katanya.