KUCHING, 15 Dis: Usah mudah mempercayai orang yang baharu kita kenali, itu pesan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Dato Sri Nancy Shukri ketika ditemui di kediaman mangsa bunuh Nurul Asikin Lan @ Amoy di Kuching pada Ahad.
Nancy yang baharu sahaja mengetahui tentang insiden yang menimpa mangsa, bergegas ke rumah mangsa untuk menghulurkan sedikit sumbangan daripada Yayasan Kebajikan Negara (YKN) serta kawasan Parlimen (P.193) Santubong, serta pada masa yang sama menyampaikan salam takziahnya kepada keluarga mangsa.
Malah, beliau turut menitipkan pesan agar semua warga perlu ambil cakna akan keberadaan ahli keluarga, selain memaklumkan kepada ahli keluarga tentang individu atau kumpulan yang ditemui, bagi mengelakkan insiden hitam yang sama daripada berulang.
“Saya dengar kes-kes seperti ini semakin banyak berlaku dan nasihat saya kita perlu menjaga diri kita dan anak-anak kita serta pastikan kita sentiasa dalam keadaan yang selamat.
“Jangan terlalu mudah untuk mempercayai orang. Saya tidak tahu apa yang berlaku, tapi yang penting ialah kita jaga keselamatan diri kita dan juga keluarga kita, sebab selama ini memang terlalu banyak kes yang kita dengar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di kediaman keluarga mangsa bunuh Nurul Asikin Lan @ Amoy di Kuching pada Ahad.
Pada masa yang sama, Nancy turut menasihatkan pelbagai pihak agar memberi sedikit ruang kepada keluarga mangsa untuk bertenang sebelum menawarkan apa jua bantuan lanjut antaranya seperti khidmat kaunseling serta apa jua bantuan yang dapat meringankan beban keluarga mangsa.
“Kita bagi mereka ruang kerana keluarga mangsa juga masih memproses tentang apa yang berlaku. Kita bersiap sedia untuk membantu jika keluarga mangsa memerlukan sebarang bantuan kerana dalam kes-kes sebegini, kita menawarkan khidmat kaunseling, namun keputusan untuk menerima tawaran itu, kita serahkan kepada keluarga mangsa, kerana kita menghormati apa jua keputusan mereka,” ujarnya lagi.
Pada masa yang sama, Nancy turut menyampaikan sumbangan Bantuan Pemberian Ehsan daripada Yayasan Kebajikan Negara (YKN) berjumlah RM1,000 dan juga sumbangan khairat di bawah Parlimen Santubong berjumlah RM300.
Kes ini masih lagi disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara hingga 40 tahun dan minimum 12 sebatan, jika sabit kesalahan. -TVS