KUCHING, 15 Dis: Satu rangka kerja undang-undang secara profesional perlu diwujudkan oleh pihak pengamal media di Sarawak bagi memastikan tidak berlakunya penyebaran maklumat yang salah dan tidak sahih, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Premier Sarawak itu berkata, peraturan dalam mengawal penyaluran maklumat tidak benar dan yang mempunyai agenda tersembunyi perlu dilaksanakan, selain turut mengenakan penalti bagi kesalahan itu.
“Sekarang ini berita akan keluar sebelum kita tidur dan tidak lama lagi apa yang saya ucapkan ini akan keluarlah di berita.
“Oleh sebab itu, kita perlu sentiasa berhati-hati ketika bercakap kerana akan ada sesetengah orang akan melakukan penstriman langsung tanpa pengetahuan anda dan di situlah boleh menimbulkan ketegangan jika tidak diedit dengan betul.
“Mungkin perkara itu dipetik di luar konteks dan menimbulkan ketegangan kerana ia merupakan maklumat yang salah, tetapi itu adalah sebahagian daripada permainan sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Kewartawanan Kenyalang (KJA) 2024 di sini, malam tadi.
Tambahnya, beliau menyerahkan kepada pihak-pihak yang berkaitan bagi mewujudkan undang-undang tersebut dalam usaha untuk meningkatkan integriti dan kredibiliti pengamal media di Sarawak ke tahap yang lebih tinggi.
Terdahulu, Abang Johari menyampaikan anugerah kepada para pemenang KJA pada majlis tersebut yang turut dihadiri Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol. – TVS