KUCHING, 15 Dis: Seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan berkaitan kes bunuh seorang wanita yang dilaporkan hilang minggu lalu.
Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Ling Hui Chuan selepas permohonan dikemukakan oleh pihak pegawai penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching di Mahkamah Kuching hari ini.
Terdahulu, sebuah kawasan komersial di Tabuan Jaya menjadi tumpuan selepas penemuan mayat seorang wanita pada malam Sabtu.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah dalam satu kenyataan hari ini berkata, mayat yang kian mereput itu ditemui di kawasan longkang Jalan Setia Raja.
“Proses mengenalpasti identiti mayat serta bedah siasat akan dilakukan bagi membantu siasatan.
“Kita mengingatkan orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih kerana dikhuatiri akan mengganggu siasatan yang dijalankan,” tegasnya.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – TVS